Pada masa ini pihak Jawatankuasa Pembinaan Masjid sedang bergerak aktif untuk mengumpul dana pembinaan masjid. Kami menganggarkan bahawa kos pembinaan keseluruhan kompleks masjid adalah berjumlah RM15 juta.
Pihak Jawatankuasa Pembinaan Masjid istiqamah untuk memulakan gerak kerja pembinaan apabila telah berjaya mengumpulkan sejumlah wang yang manasabah dan ini tertakluk kepada konsep rekabentuk yang sekarang sedang diusahakan. Kami bermatlamat agar masjid dapat mula beroperasi pada tahun 2017.
Memandangkan kos pembinaan yang tinggi dan kekangan untuk mendapatkan peruntukan segera dari pihak Kerajaan Negeri maka, kita memerlukan sokongan yang padu dari penduduk setempat untuk pengumpulan dana.
Berdasarkan anggaran jumlah rumah penduduk Islam sebanyak 2,500 unit di kawasan Putra Heights dan sumbangan purata RM2,000 serumah kami percaya jumlah RM5 juta di atas akan dapat dicapai di dalam masa dua tahun. Dengan ini kami merayu penduduk Islam Putra Heights agar dapat memberikan komitmen yang berterusan dengan mendokong KEMPEN SUMBANGAN DANA “1RUMAH RM2000 2TAHUN” ini supaya matlamat kita untuk memulakan pembinaan masjid di dalam masa dua tahun dapat dicapai.
Pada masa yang sama, kami pihak Jawatankuasa Pembinaan Masjid, dengan sokongan dan kerjasama keseluruhan penduduk Islam Putra Heights, akan sentiasa berusaha untuk mendapatkan dana dari sumber-sumber yang lain.
Walau bagaimanapun, kami mengalu-alukan penyertaan dari kawasan sekitar mahupon luar Putra Heights.